Sunday, August 30, 2015

GURU DAN CABARAN SEMASA


DENGAN memperkasakan peranan guru akan melahirkan modal insan berkualiti. Itu­lah adalah antara tujuan terpenting dalam usaha memberikan insentif kepada bidang pendidikan di negara ini.
Oleh itu, dalam melahirkan modal insan peranan kerajaan dan guru adalah menjadi tonggak utama ke arah kejayaannya.
Dalam era globalisasi guru perlu meng­hadapi cabaran semasa dalam proses pen­di­dikan antaranya berkaitan integrasi nasio­nal, pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan, globalisasi dalam pendidikan, kepelbagaian budaya, penga­ruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta gejala sosial dalam kalangan pelajar merupakan antara cabaran terbesar yang dilalui dan diuruskan oleh pihak guru.

Justeru, kerajaan tidak mengambil mudah dan memandang ringan usaha memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan, kursus, ceramah dan juga motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
Usaha mentransformasikan profesion keguruan menjadi profesion pilihan sedang dilaksanakan dengan mengetatkan syarat kemasukan guru mulai 2013 supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.
Kajian pada 2011 menunjukkan bahawa Malaysia disenaraikan di tempat ke-11 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai negara paling menarik dari segi perkhidmatan pendidikan.
Seterusnya, kajian itu juga mendapati kira-kira 90,000 pelajar daripada 130 negara yang sedang menyambung pengajian di negara ini. Sebahagian besar pelajar asing ini berasal dari China, Indonesia, Iran dan Nigeria. Ini membuktikan Malaysia tempat paling menarik dan sesuai untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Bagi memperkasa pendidikan negara, Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sebanyak RM500 juta peruntukan diluluskan meliputi program meningkatkan kemahiran guru Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dan penubuhan Education Delivery Unit (EDU).
Sebagai guru pemahaman terhadap hasrat dan tujuan PPPM sangat penting bagi merealisasikan dan mewujudkan kecemerlangan dalam sistem pendidikan negara.
Ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan majikan menyuarakan kebimbangan atas keupayaan sistem pendidikan melengkap­kan generasi muda dengan persediaan secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Menyedari hakikat bahawa sistem pendidikan adalah kompleks dan rencam, tempoh yang panjang diperlukan untuk melihat impak transformasi yang dilaksana­kan.
Ini juga memastikan setiap murid dan pelajar menguasai kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan. Di samping itu mentransformasikan profesion keguruan menjadi profesion pilihan. Ini antara dua daripada 11 anjakan untuk transformasi sistem.
Kejayaan dan kecemerlangan murid dan pelajar banyak bergantung pada kehebatan P&P guru di dalam kelas. Jika guru dapat menyampaikan isi pengajaran dengan baik dan berkesan murid dan pelajar mudah memahaminya serta dapat menjawab soalan dalam peperiksaan dengan cemerlang.
Sebanyak 11 anjakan utama untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara dalam PPPM dan juga teras dan dasar pembangunan insan mestilah difahami oleh semua terutama guru sebagai pelaksana dalam pendidikan anak bangsa bagi memperkasa generasi muda pada masa depan.

* Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan supaya ia berkualiti dan re­levan dengan keperluan semasa;
* Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi mening­katkan perpaduan negara
* Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran, prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar;
* Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertinggi memenuhi keperluan pasaran;
* Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;
* Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan penge­tahuan;
* Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan
* Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.
Oleh itu, pihak kerajaan sebagai badan perancang utama menyediakan bajet dan peruntukan untuk membangunkan modal insan. Manakala para guru adalah pihak yang akan melaksanakan tujuan ke arah membangunkan modal insan yang berkua­liti untuk pemimpin negara pada masa akan datang.
Ingatlah bahawa guru yang paling baik adalah guru yang paling banyak belajar daripada muridnya. Tujuan tertinggi perguruan bukanlah semata-mata untuk mencari ilmu pengetahuan, tetapi mendidik muridnya de­­­ngan perbuatan yang baik dalam kehidupan.
© Utusan Melayu (M) Bhd 
.............PERCUBAAN MENGHASILKAN BLOG - TRY AN ERROR .................. hihihi...

No comments:

Post a Comment